cintai alam

Kekalkan Kepelbagaian Biodiversiti (Bio) Alam Semulajadi


Kekalkan Kepelbagaian Biodiversiti (Bio) Alam Semulajadi: Anda semua mesti biasa melihat dan mendengar kata-kata ini "Kepelbagaian Bio" yang sering berkumandang di media elektronik tempatan. 

Ianya adalah iklan tentang maklumat sumber kekayaan negara Malaysia dari sudut biologi, ekosistem dan alam semulajadi

Kekalkan Kepelbagaian Biodiversiti (Bio) Alam Semulajadi
Malaysia merupakan bumi yang bertuah yang kaya dengan kepelbagaian bio. Kepelbagaian bio merangkumi semua benda hidup serta ekosistem yang merupakan habitat bagi kehidupan ini.


Kita semua adalah sebahagian dari jaringan kehidupan yang kompleks ini dan saling bergantung antara satu sama lain. Malaysia merupakan salah satu daripada 12 negara paling kaya dari segi kepelbagaian bio.

Terdapat lebih 15,000 jenis tumbuhan berbunga dijumpai di Malaysia iaitu hampir 10 peratus daripada jenis tumbuhan berbunga yang terdapat di dunia. Malaysia turut memiliki lebih 175,000 spesis haiwan iaitu lebih daripada 15 peratus daripada semua spesis yang hidup di dunia.

Terdapat lebih 3,000 spesis orkid iaitu antara bunga yang paling eksotik di negara ini disamping lebih 350 spesis reptilia, 300 spesis mamalia, 1,000 spesis rama-rama, 730 spesis burung.

Malaysia juga merupakan habitat kepada bunga terbesar di dunia (bunga Rafflesia), pokok tropika tertinggi (pokok tualang) dan penghuni pokok yang terberat di dunia (orang utan).

Ekosistem semulajadi Malaysia adalah antara yang paling mengagumkan di dunia yang terdiri daripada hutan hujan tanah rendah, hutan bakau, hinggalah ke hutan paya, hutan bukit dan gua batu kapur, hutan gunung dan juga padang rumput Alpine yang kesemuanya berada berhampiran dengan garisan Khatulistiwa.

Kepelbagaian Bio Atau Biodiversiti

Apakah yang anda faham dengan maksud Kepelbagaian Bio? Dah macam nak belajar ilmu sains pula. Tapi sekurang-kurangnya kita faham daripada sekadar mendengar sahaja.

Kepelbagaian Bio atau dikenali juga sebagai biodiversiti merujuk kepada kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan. Ianya adalah variasi pelbagai bentuk kehidupan yang ada di bumi ini.

Biodiversiti merangkumi semua bentuk kehidupan dari sekecil kuman hingga ke hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan seperti ikan paus serta pokok-pokok yang besar. - sumber

Kepelbagaian Biodiversiti (Bio) Alam Semulajadi

Sumber kekayaan negara ini kian rakus dirompak kerana sikap tamak dan pentingkan diri sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan segera tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap kehidupan dimasa hadapan.

Hutan-hutan diteroka dan di ambil segala khazanah berharganya. Bukit-bukit diratakan. Sungai-sungai dan tasik semulajadi dikambus, manakala sumber air bersih kian tercemar. Binatang-binatang mulai hilang habitatnya dan berhijrah. 

Semuanya ini memberi kesan bukan sahaja kepada mereka yang melakukan aktiviti tersebut tetapi kepada semua orang walaupun anda tidak pernah terlibat, ambil tahu dan ambil peduli tentang biodiversiti, ekosistem dan alam semulajadi.

Kepentingan Hutan Dan Alam Semulajadi

Hutan merupakan kawasana tadahan hujan semulajadi terbaik. Ianya menjadi pengumpul dan penapis sumber air semulajadi yang menyalurkan air bersih melalui mata air dan sungai untuk keperluan semua hidupan.

Selain itu ia juga pembekal oksigen terbesar untuk semua makluk bernafas. Hutan juga menjadi pelindung buat kita dari kesan rumah hijau dimana ianya berfungsi mengekalkan keseimbangan suhu, iklim dan cuaca. Bayangkan jika ianya sudah tiada... apa akan jadi dengan kehidupan kita?

Kepentingan Kepelbagaian Bio Atau Biodiversiti

Hutan juga menjadi tempat tinggal, habitat dan sumber makanan bagi binatang. Apabila ianya diceroboh maka binatang-binatang ini terpaksa mencari lokasi baru.

Andai lokasi baru sudah tiada maka binatang-binatang ini akan pupus atau akan hidup bersama dengan kita. Mahukah anda hidup dikelilingi oleh binatang-binatang ini? 

Sudah tentu tidak! Dan akhirnya binatang-binatang ini akan mati. Kesannya... ia akan mengganggu rantaian makanan dan kitaran kehidupan ini.

Sesetengah binantang pula akan terus bertambah dengan banyaknya. Ketidakseimbangan ini akan membawa bencana kepada kehidupan kita akhirnya.

Bentuk muka bumi ini yang pelbagai rupa bukanlah sesuatu yang tidak sengaja. Setiap kejadian itu ada sebab dan fungsinya. Jika bukit-bukit diratakan, sungai dan lembah di kambus, maka ianya mengganggu ekosistem semulajadi alam ini.

Kejadian tanah runtuh, mendapan, banjir dan hilangnya kesuburan tanah akan berlaku. Lebih teruk lagi, ianya merubah suhu dan tekanan yang akhirnya membawa kesan kepada ketidakstabilan pada alam dan cuaca. 

Kekalkan Kepelbagaian Biodiversiti (Bio) Alam Semulajadi

Kekalkan Kepelbagaian Bio atau Biodiversiti Ini

Oleh itu, Kepelbagaian Bio atau Biodiversiti adalah amat penting untuk keseimbangan ekosistem. Ianya adalah rantaian makanan yang penuh kerana biodiversiti membekalkan makanan, minuman, habitat kepada semua makluk yang hidup dimuka bumi ini.

Ianya perlu dikekalkan kerana ia adalah keseimbangan dalam mengekalkan dunia ini dalam keadaan stabil, selamat dan aman. 

Apakah peranan setiap individu dalam mengekalkan biodiversiti ini? Kongsikanlah pandangan anda untuk rujukan dan kebaikan bersama kerana mencegah itu lebih baik dari merawati. Menyesal kemudian tiada gunanya...

3 comments

Sememangnya teramat penting namun kerjasama semua pihak amatlah diperlukan..

Aslmkum. sy nk mintak izin pinjam satu gmbar yg ada rama2 tu nk letak kt wallpaper page fb sy.

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog Cinta Kepada Alam - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 AlamBlogr - All Rights Reserved