cintai alam

Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar


Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar

Kitar semula adalah satu amalan untuk mengurangkan pembaziran dan kemusnahan yang diakibatkan oleh bahan-bahan atau sisa-sisa yang dibuang. Amalan kitar semula adalah amalan terpuji dan amat bertepatan dengan saranan agama Islam kerana membazir itu adalah amalan syaitan dan memusnahkan alam sekitar itu akan membawa bencana. Oleh kerana kesannya melibatkan semua maka sebab itu ianya menjadi tanggungjawab bersama.

Khutbah Jumaat pada tanggal 14 November 2014 tadi telah mengulas dan menjelaskan akan amalan buruk yang semakin tidak terkawal ini iaitu pembaziran dan pembuangan sisa yang membawa kepada kemusnahan alam sekitar dan seterusnya membawa bencana kepada semua hidupan di muka bumi ini.

Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar

Kita ikuti petikan Khutbah Jumaat ini yang bertajuk "Elakkan Pembaziran, Kurangkan Penjanaan Sisa Makanan" semoga ianya dapat memberi ingatan dan pedoman buat kita untuk mengaudit diri serta merenung kembali apa yang telah kita lakukan kepada alam selama ini...

Elakkan Pembaziran, Kurangkan Penjanaan Sisa Makanan

Sebagai manusia sudah tentunya kita sentiasa mengharapkan hidup dalam kesenangan, keselesaan dan kebahagiaan. Kita hendaklah mensyukuri dan menghargai setiap nikmat kurniaan daripada Allah SWT yang menjadi keperluan asas bagi kehidupan manusia. Nikmat air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya merupakan ciptaan Allah sebagai pelengkap kepada kehidupan manusia di atas muka bumi. Kerana itulah Islam sangat mementingkan soal menjaga dan memelihara alam sekitar.

Kita selaku manusia yang dikurniakan akal hendaklah memakmurkan dan memelihara bumi kurniaan Allah ini dengan selayaknya, bukannya dengan melakukan kerosakan, melakukan pencemaran dan pembaziran.

Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar

Pada tahun 2014, rakyat semenanjung Malaysia menghasilkan sebanyak 30,764 tan sisa pepejal (sampah) sehari dan 36,659 tan sisa pepejal sehari untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Malangnya 45.5% daripada jumlah ini adalah sisa makanan dan hampir keseluruhan sisa makanan ini akan dihantar ke tapak-tapak pelupusan. Ini menunjukkan bahawa, rakyat Malaysia secara sedar mahupun tidak telah banyak membazir makanan dengan membuang 16,680 tan makanan sehari ke dalam tong sampah dan seterusnya ke tapak pelupusan. Perkara tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang suci murni dan amalan membazir itu adalah amalan syaitan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 27  yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”

Antara punca yang mengakibatkan pembaziran ini terjadi adalah seperti berikut:
  • Sikap masyarakat kita yang suka berbelanja besar ketika membeli barang-barang makanan dan beranggapan bahawa tiada ruginya sekiranya makanan tersebut dibuang.

  • Tiada perancangan rapi dibuat sebelum membeli barangan dapur mengakibatkan sesetengah barangan makanan yang dibeli tidak digunakan sehinggakan ianya terpaksa dibuang kerana telah luput.
  • Sifat tamak haloba, terutamanya ketika menghadiri majlis-majlis jamuan terbuka dan majlis berbuka puasa. Pengambilan juadah yang banyak gara-gara mengikut hawa nafsu dan perut yang lapar mengakibatkan makanan diambil dalam kuantiti yang banyak dan akhirnya tidak habis dimakan dan seterusnya dibuang ke dalam tong sampah.

Kesan Pembuangan Sisa

Pembaziran makanan ini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah ianya juga akan menimbulkan masalah seperti berikut:

1. Mencemarkan alam sekitar, kerana sisa makanan yang dibuang akan mereput dan menghasilkan gas-gas beracun seperti gas metana yang cepat membakar dan gas karbon dioksida seterusnya mengakibatkan pemanasan global. Akibatnya terjadilah bencana alam yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti banjir besar, ribut kuat dan sebagainya.

Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar

Selain itu, proses pereputan ini juga akan menghasilkan air larut resap yang mana sekiranya tidak dirawat dengan betul boleh mencemarkan bekalan air minuman kita dan hidupan akuatik dalam sungai tersebut seperti ikan, udang dan sebagainya akan mati. Malah sekiranya ia mengalir ke laut nescaya akan menjejaskan hidupan di lautan yang mengakibatkan bekalan ikan negara kita terjejas.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”
Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar

2. Pembaziran wang rakyat, kerana proses rawatan air larut resap dan gas metana sehingga menepati piawaian memerlukan sejumlah wang yang agak banyak dan penghasilan air dan gas tersebut akan berterusan selama berpuluh-puluh tahun walaupun tapak pelupusan telah ditutup.

3. Menjejaskan bekalan air, dimana sekiranya air kumbahan tersebut tidak dapat dirawat dengan betul dan mengalir masuk ke loji rawatan air setempat ianya akan mengakibatkan loji tersebut akan terhenti operasinya dan seterusnya mengakibatkan puluhan ribu isi rumah terjejas bekalan air bersih.

4. Bekalan makanan Negara boleh terjejas akibat permintaan yang melebihi penghasilan makanan Negara. Akibatnya harga bekalan makanan seperti beras, gula, tepung, ayam dan sebagainya akan naik dengan mendadak dan terdapat sesetengah bekalan makanan tersebut terpaksa diimport. Dengan keadaan cuaca dunia yang tidak menentu akibat peningkatan suhu global, hasil pengeluaran tanaman dikebanyakan Negara pengeksport bekalan makanan telah menurun, seterusnya mengakibatkan kos pengimportan bahan makanan akan meningkat.

Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar

Usaha Kerajaan

Dalam hal ini, kita berharap Pihak Kerajaan melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya dapat meneruskan usaha keras bagi mengatasi masalah ini dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran seperti larian kitar semula, poster-poster, penubuhan bank kitar semula di sekolah-sekolah, seminar-seminar dan lain-lain program.

Selain itu, pihak kerajaan juga sedang membina tapak-tapak pelupusan sanitari baru, menaiktaraf tapak pelupusan sedia ada, membina loji incinerator dan loji pengkomposan bagi menampung keperluan semasa pengurusan sampah negara. Bagaimanapun, usaha kerajaan tersebut akan sia-sia sekiranya rakyat Malaysia masih lagi mengamalkan gaya hidup sedia ada dengan menghasilkan sampah dengan sewenang-wenangnya.

Langkah Bersama Mengatasi Masalah

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan bahawa sahabat baginda Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah berpesan kepada keluarganya agar mengkafankan beliau dengan baju yang beliau miliki. Ini kerana beliau berpendapat bahawa, kain yang baru boleh dimanfaatkan oleh orang yang masih hidup. Disini memperlihatkan kepada kita bahawa sahabat Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap yang sama dengan Rasulullah SAW iaitu mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi mengatasi masalah ini dengan mengamalkan perkara-perkara seperti berikut:
  • Menanamkan sikap menghargai makanan dan mendidik anak-anak agar tidak membazirkan makanan.
  • Mengamalkan sikap berjimat cermat dengan mengambil makanan dalam jumlah yang diperlukan.
  • Merancang dan menyenaraikan pembelian barangan dapur agar tiada pembelian barangan makanan yang tidak diperlukan.
  • Mendermakan makanan yang berlebihan kepada badan-badan kebajikan dan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan sebagainya.
  • Memproses atau mengkompos sisa-sisa makanan untuk dijadikan baja yang kemudiannya boleh digunakan bagi menyuburkan tanah dan tanaman.
  • Gunakanlah kemudahan-kemudahan pembuangan sampah yang telah disediakan di pusat-pusat kitar semula.
  • Umat islam bertanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata.
Pembaziran Punca Kemusnahan Alam Sekitar

Hadis daripada Abu Malik al-Asy’ari RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“kesucian atau kebersihan itu sebahagian daripada Iman”.

Kesimpulan

Dengan ini, dapatlah disimpulkan bahawa pembuangan sampah dan sisa makanan merata-rata bukan sahaja memberi kesan yang buruk kepada kita dan alam sekitar malah ianya adalah salah disisi agama. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam usaha mengurangkan sisa-sisa makanan tersebut.

“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya)”. (Ibrahim : 32)

Sumber Petikan Khutbah Jumaat : http://e-masjid.jais.gov.my

1 comments:

Kita perlu kekalkan tanah depan rumah teres kita bukan disimen untuk elakkan banyak air mengalir dalam longkang. Kalau longkang tidak tertampung akan menyebabkan banjir kilat.

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog Cinta Kepada Alam - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 AlamBlogr - All Rights Reserved