cintai alam

Kegagalan Kitar Semula & Impak Kepada Alam Sekitar



Kegagalan Kitar Semula & Impak Kepada Alam Sekitar: Kehidupan di zaman milenium ini sungguh berbeza berbanding 50 tahun dahulu. Kini populasi penduduk, pembangunan dan kemajuan semakin meningkat dengan pantasnya. 

Ianya memerlukan pengorbanan yang sangat besar dan berharga iaitu kemusnahan dan pencemaran alam sekitar.

Alam semulajadi semakin berkurang kerana tuntutan kehidupan dan pembangunan demi keperluan dan kemajuan. Ianya terlalu pantas berlaku sehinggakan tidak terkawal lalu membawa pelbagai bencana alam yang mengancam kehidupan dan nyawa.

Kegagalan Kitar Semula & Impak Kepada Alam Sekitar

Impak Kemajuan

Kemodenan dan kemajuan pula memberi impak sampingan yang amat besar kepada alam sekitar. Kerana permintaan yang tinggi, industri semakin tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Sumber kehidupan iaitu udara, air dan hutan semakin dinodai. Bahan dan barangan berteknologi tinggi semakin menjadi bahan keutamaan namun ia kebanyakannya mempunyai kadar pereputan yang sangat lama dan bertoksid. 

Cara hidup juga telah berubah. Demi kesenangan dan kemudahan hidup yang semakin mahukan segalanya mudah, pantas dan segera membawa kepada penggunaan barangan pakai buang semakin memburukkan lagi keadaan.

Tinggal Kenangan

Kesian kepada generasi hadapan. Andai segala kemusnahan ini berterusan, dapatkah mereka menikmati apa yang kita nikmati pada hari ini?

Melihat pepohon dan hutan yang menghijau. Tasik yang jernih dan bersih. Sungai yang mengalir dipenuhi pelbagai hidupan. Laut dan langit yang membiru. Semua ini hanya akan tinggal kenangan.

Masa depan mereka bergantung kepada tindakan kita pada hari ini.

Cintai alam yang indah ini
Hargailah alam semulajadi yang indah ini...Tanggungjawab kita menjaga dan memeliharanya 

Kekalkan Alam Sekitar

Apakah pilihan yang kita ada untuk mengekalkan alam sekitar ini? YA! Kita masih mampu andainya kita berjaya menjadikan amalan kitar semula satu budaya dalam kehidupan setiap individu.

Komitmen dalam merealisasikan kitar semula dan mengurangkan sampah yang perlu dilupuskan adalah pilihan terbaik yang kita ada.

Kempen Kitar Semula Gagal

Namun mentaliti masyarakat negara ini yang memandang mudah kepada kempen kitar semula yang dua kali dilancarkan pada 1993 dan 2000 dibuktikan dengan peratusan kitar semula yang masih rendah iaitu hanya sekitar lima peratus.

Lihatlah apa sudah jadi dengan tong-tong sampah kitar semula. Malah kempen sabtu tanpa beg plastik pada awal 2010 juga masih tidak menyeluruh sehingga kini.

Pasti ramai juga yang tidak tahu bahawa setiap 11.November adalah Hari Kitar Semula Kebangsaan... Betul tak? Jelas sekali kempen kitar semula sebelum ini masih gagal mencapai sasarannya.

Amalan Kitar Semula Demi Menjaga Alam Sekitar

Sasaran Kian Tersasar

Sasaran kitar semula negara ini adalah sebanyak 22 peratus menjelang 2020 dimana serentak dengan matlamat negara mencapai status negara maju.

Mampukah ianya dicapai? Sasaran kita sahaja jauh jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun yang berjaya melakukan kitar semula melebihi 50 peratus.

Sudahlah kesedaran amalan kitar semula gagal, diburukkan lagi dengan jumlah sampah yang semakin meningkat dan dijangka melebihi 30,000 tan sehari dalam tempoh kurang 11 tahun lagi. Boleh kita bayangkan apa akan jadi kepada alam sekitar pada 50 tahun akan adatang.

Jutaan ringgit telah dilaburkan, namun tiada hasilnya. Rakyat Malaysia boleh dilentur dan mudah mengikut arahan dan amalan yang baik jika kempen kesedaran atau pendekatan yang dianjurkan bersifat berterusan dan bukannya hanya seperti 'pahat dan penukul'.

Perlunya Penguatkuasaan Berterusan

Bila berlaku sebarang masalah, baru nak bertindak atau pun buat tak tahu sahaja. Penguatkuasaan dan pemantauan juga perlu dilakukan.

Amalan Kitar Semula Demi Menjaga Alam Sekitar
Jangan biarkan pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan ini terus bersenang-lenang untuk menghabiskan duit kerajaan dengan program-program yang gagal, membazir dan tidak memberikan manfaat kepada rakyat.

Ramai lagi insan yang cekap, ikhlas dan bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab, cuma mereka tidak punya peluang.

Sebagai seorang manusia yang waras dan bertanggungjawab, tugas setiap individu untuk menjadikan kitar semula ini satu amalan dalam kehidupan kita.

Jangan sampai kita dipaksa melakukannya. Namun tidak mustahil satu hari nanti kita terpaksa pula melakukannya.

Oleh itu sebelum dipaksa dan terpaksa, baiklah kita dengan ikhlas melakukannya mulai hari ini juga. Bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita, keluarga dan generasi masa hadapan demi kehidupan yang sihat dan sejahtera.

Sumber rujukan fakta : sini & sini

6 comments

dunia dimamah usia dan kerakusan manusia

Manusia mempercepatkan kemusnahan dunia... kesian generasi masa akan datang

Pemodenan mahupun pembangunan bukanlah penyebab kepada kemusnahan khazanah alam tetapi sifat dan mentaliti kebanyakan manusia pada masa kini terutama sekali rakyat Malaysia yang semakin lama semakin melupakan kepentingan khazanah-khazanah tersebut dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai manusia ibarat kacang lupakan kulit merupakan penyebab kepada kemusnahan khazanah itu sendiri

penulisan yang bagusnya....pendapat yang mantap dan realiti

Bilakah kempen kitar semula dijalankan?

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog Cinta Kepada Alam - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 AlamBlogr - All Rights Reserved