cintai alam

Melestarikan Alam Sekitar Demi Masa Depan

Adalah tanggungjawab kita semua dalam melestarikan alam sekitar. Alam ini bukan milik kita dan setakat ini sahaja. Kita berkongsi hidup dengan pelbagai makhluk lain dan saling bergantung antara satu sama lain dari sejak Nabi Adam hinggalah ke hari kiamat nanti.

Sebelum itu, perlu kita fahami akan maksud melestarikan alam sekitar? Menurut Kamus Dewan, lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal atau tetap. Maka, melestarikan alam sekitar bermaksud, kita membiarkan atau memelihara alam sekitar supaya kekal seperti sediakala.

Oleh itu apakah yang harus kita lakukan untuk melestarikan alam sekitar ini agar ianya terus kekal dan dapat dinikmati sehingga ke masa depan untuk generasi akan datang?

Cara Untuk Melestarikan Alam Sekitar

Melestarikan Alam Sekitar

Ianya bukan tanggungjawab pihak tertentu sahaja tetapi setiap individu harus punya rasa tanggungjawab dan sama-sama terlibat dalam melestarikan alam sekitar. Apakah yang boleh kita sumbangkan? Mari kita lihat beberapa cara dan aktiviti mudah yang boleh kita lakukan sebagai tanggungjawab bersama untuk melestarikan alam sekitar ini:

1. Kurangkan pembuangan bahan buangan.
Kita boleh kumpul barangan terbuang yang boleh di kitar semula seperti barangan plastik, kertas, besi dan sebagainya untuk dijual atau guna semula melalui idea kreatif barangan kitar semula. Ianya bukan sahaja dapat mengurangkan bahan buangan tetapi dapat memberi pulangan semula buat anda. 

2. Kurangkan pencemaran udara.
Jangan membakar sampah secara terbuka. Pencemaran dari pembakaran amat besar kesannya, malah kita semua sudah merasai betapa siksanya hidup dalam suasana berjerebu. Oleh itu cuba elakkan dari melakukan pembakaran terbuka.

3. Elakkan pembaziran tenaga.
Sumber tenaga elektrik yang utama adalah dari pembakaran bahan api seperti arang batu dan minyak. Setiap kali pembaziran tenaga bermakna kita menyumbang kepada penggunaan lebih banyak sumber bahan bakar ini yang akan mencemarkan alam sekitar. Oleh itu pastikan setiap kegunaan elektrik di rumah, pejabat, premis perniagaan, kilang dan sebagainya digunakan dengan cekap dan tidak membazir. Guna ketika perlu dan secara optimum.

4. Jangan Membazir.
Kadangkala kita sering membeli barangan mengikut nafsu dan bukannya mengikut keperluan. Pakaian penuh almari, gadget 2~3 biji seorang, televisyen 3~4 buah dalam satu rumah dan macam-macam lagi. Semuanya lebih dari yang diperlukan. Setiap kali ada permintaan maka setiap kali itu jugalah adanya pengeluaran. Untuk menghasilkan lebih pengeluaran, maka lebih banyak penggunaan tenaga dan bahan mentah diperlukan. Ianya pasti akan memusnahkan dan mencemar alam sekitar.

5. Kurangkan penggunaan barangan pakai buang
Ini adalah kesan dari peningkatan taraf hidup dan kemajuan apabila semua orang mahukan yang pantas, segera, murah dan mudah. Pihak pengilang mengambil peluang dari situasi ini untuk mengaut keuntungan yang pantas dan berterusan, maka barangan pakai buang dan kualiti rendah adalah alternatif terbaik masa kini tetapi ianya memberi kesan yang amat buruk kepada alam sekitar. Penggunaan sumber tenaga dan bahan mentah yang banyak disamping bahan buangan yang bertambah berlipat kali ganda akan mempercepatkan kemusnahan dan pencemaran alam sekitar.

6. Guna sumber tenaga kurang cemar.
Kemajuan dalam bidang teknologi semakin mengagumkan. Kesedaran tentang penjagaan alam sekitar telah memajukan teknologi kearah lebih mesra alam. Teknologi menggunakan sumber tenaga melalui cahaya matahari atau solar serta angin amat berjaya dalam menjaga alam sekitar. Begitu juga penggunaan kenderaan hibrid dan elektrik, ianya berjaya dalam mengurangkan pencemaran udara.


Ada banyak lagi cara dan aktiviti yang boleh dilakukan untuk kita bersama melestarikan alam sekitar. Mungkin anda juga boleh kongsikan bersama di sini.

Segalanya Berpunca Dari Kita

Kita hidup dimuka bumi ini sebagai khalifah yang menjaga dan memelihara alam ini sambil menggunakan segala sumber yang ada dengan bermanfaat dan bijaksana.

Allah S.W.T berfirman: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pancang pasak yang menetapkannya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu.” (Surah An-Naziaat ayat 30-33)

Namun disebabkan oleh kerakusan sesetengah dari kita telah mengekploitasi hasil dan sumber alam dengan melampaui batas. Implikasinya menyebabkan pelbagai fenomena bencana alam telah berlaku dan diantaranya adalah; pemanasan global, tanah runtuh, banjir kilat, gempa bumi dan pelbagai lagi yang akhirnya mengganggu ketidaksabilan ekosistem, cuaca dan hukum alam.

Allah S.W.T berfirman: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.” (Rum:41)

Jangan fikir dan lihat apa yang orang lain lakukan. Jangan asyik menuding jari tetapi hanya berdiam diri. Kita perlu mulakanlah dari diri kita sendiri. Masih belum terlewat untuk kita bertindak. Bersama-samalah kita bertanggungjawab dalam melestarikan alam sekitar demi kehidupan yang lebih aman, sihat dan sejahtera di masa kini dan masa hadapan.

“Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.” - Chief Seattle 
Cara Untuk Melestarikan Alam Sekitar

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog Cinta Kepada Alam - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 AlamBlogr - All Rights Reserved