Hutan paya tropika ini adalah ekosistem tanah lembap yang unik dan merupakan dua gabungan hutan
paya gambut dan hujan tropika yang berkembang dan kekal bersama selama beribu tahun.
Pembentukan dan pengawetan gambut dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti keadaan iklim,
berasid, anaerobik, kekurangan nutrien dan fizikal landskap.
Tanah gambut adalah bahan organik yang sebahagian besarnya terdiri daripada lebihan tumbuhan yang tidak reput kerana keadaan persekitaran yang tepu air.
Di Malaysia, dianggarkan masih ada 1.45 juta hektar hutan tanah gambut di mana 0.3 juta hektar di Semenanjung manakala selebihnya di Sabah dan Sarawak.
Flora Hutan Paya Gambut
Pokok-pokok hutan paya gambut amat istimewa kerana mempunyai sistem adaptasi yang efisien bagi mengatasi keadaan kekurangan nutrien seperti beberapa spesis nepenthis (periuk kera) yang menjerat serangga sebagai sumber makanan.Pinggiran gambut yang masih menerima sumber air dari kawasan sekitar akan lebih subur dan membolehkan tumbuhan kayu bertapak dan membesar.
Ia boleh menampung hutan paya (mixed swamp forest) yang mengandungi banyak spesis balak yang bernilai tinggi seperti meranti (shorea spp.), kapur (dryobalanops spp.) dan ramin (gonnystylus spp).
Oleh kerana paya gambut secara alaminya sentiasa digenangi air, tumbuhan dikawasan ini mengwujudkan sistem adaptasi yang sangat luar biasa bagi menghadapi keadaan yang kurang oksigen (anaerobic), tanah lembut, berasid tinggi dan nutrien rendah.
Banyak tumbuhan kayu mempunyai beberapa jenis akar yang berlainan bentuk dan ukuran, seperti akar mekanikal, banir dan perdu untuk mencengkam pada tanah yang lembut, akar pernafasan pnumatopor bagi mengatasi keadaan yang anaerobik.
Fungsi Hutan Paya Gambut
Hutan paya gambut tropika mempunyai beberapa rangkaian fungsi dan perkhidmatan yang penting kepada manusia dan alam sejagat seperti memelihara pelbagai biologi, menyediakan habitat kepada hidupan liar, mengedar putaran hidrologi, menghalang kejadian banjir, hakisan, menstabil iklim, riadah dan pendidikan serta sumber keperluan sosio-ekonomi asas manusia1. Penyimpan karbon
Tanah gambut yang terdiri dari bahan organik berfungsi sebagai menyimpan karbon yang sangat tinggi dan tumbuhan yang tidak reput seperti batang, dahan, ranting, akar dan dedaun. keupayaan hutan ini meyerap karbon dioksida (CO2) dapat membantu menstabilkan iklim dengan memperlahankan proses pemanasan global.
2. Kawasan tadahan air dan pencegah banjir
Tanah gambut memiliki peranan hidrologi yang sangat penting, sifat fisiknya dapat menyerap dan mengawal kestabilan bekalan sumber air melalui fungsi alami bahan organik. Ia menyerap air daripada hujan dan bertindak seperti span lalu menyimpannya di pemukaan dan di dalam tanah.
Tanah gambut dapat mengawal kenaikan air secara mendadak dan dapat mengelakkan daripada berlakunya banjir dan kekeringan.
3. Membekal air dan sumber air bawah tanah
Tanah gambut boleh bertindak sebagai kawasan tadahan yang membekal sumber air bawah tanah kerana sifat fiziknya. Air akan menyerap lalu menyusup masuk ke kawasan takungan air bawah tanah dan mengecaj akuifer air tanah.
Air bawah tanah tersebut boleh dibekalkan ke kawasan sekitarnya dan menjadi sumber air mentah kepada kawasan yang jauh dari tanah lembab untuk tempoh yang lama
4. Kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologi
Dalam keadaan alam yang tidak terganggu, paya gambut menjalankan fungsi yang sangat penting untuk ekologi sejagat. Ianya merupakan habitat penting pelbagai flora dan fauna yang sebahagiannya sangat unik dan endamik.
Di sini terdapat saki baki hutan hujan tanah rendah yang menjadi habitat penting kepada banyak spesis haiwan, tumbuhan yang luar biasa dan terancam malah ianya amat penting bagi sumber genetik yang masih belum ditemui dan diselongkar untuk kegunaan manusia
5. Nilai ekonomi
Hutan paya gambut ini mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi. Ia bukan sahaja dapat memberi sumber pendapatan kepada penduduk setempat malah mampu menjana ekonomi sesebuah negara jika diurus dengan baik.
Misalnya kawasan gambut temperate telah dilombong dan digunakan sebagai bahan bakar dan baja. Kawasan tropika, memyediakan sumber asli iaitu bahan binaan seperti balak, bahan bakar, kulit kayu, makanan dan ubatan.
Selain daripada itu, ekosistem gambut juga adalah habitat kepada beberapa spesis ikan air tawar, yang sebahagiannya adalah endemik. Ini termasuk ikan seperti tapah, haruan, dan keli.
Binatang seperti babi hutan, payau dan kijang adalah sumber makanan yang berharga bagi menampung kelangsungan sara hidup komuniti setempat.
6. Nilai-nilai saintifik, pendidikan, kesedaran awam
Di samping mempunyai nilai ekonomi dan komersial, Penyelidikan mengenai hutan paya gambut ini juga membuka peluang bagi mengwujudkan program pendidikan seperti mata pelajaran alam sekitar
Ekosistem paya gambut juga dapat memainkan peranan dalam membangun masyarakat prihatin dan sihat apabila mereka, terutama generasi muda dilibatkan dalam pengurusan seperti penananam pokok, dan kerja-kerja membaikpulih kawasan gambut yang rosak.
7. Kegunaan Pertanian
Tanah gambut cetek telah digunakan sebagai lahan pertanian sejak tahun 1970an, terutama di Semenanjung Malaysia. Ianya telah diusahakan dengan jayanya bagi tanaman yang memerlukan masa pendek untuk membuahkan hasil: seperti sayur-sayuran, jagung dan nenas.
Jika pengurusan dan pengelolaan dibuat dengan betul, tanah gambut boleh dijadikan tapak pertanian yang bernilai tinggi.
Menjaga Dan Memelihara Hutan Paya Gambut
Hutan paya gambut merupakan salah satu khazanah atau sumber daya alam yang penting dan mempunyai rmultifungsi. Sejak dari dulu hutan paya gambut tropika telah membekalkan keperluan hidup kepada penduduk pribumi: sumber makanan, berburu, memancing, ubat-ubatan, bahan binaan dan bahan bakar.Hutan paya gambut adalah ekosistem yang penting dan mempunyai pelbagai fungsi termasuk membekalkan ekosistem seperti pengawalan air dan penyimpanan karbon. Kebakaran di hutan paya gambut akan memusnahkan kepelbagaian biologi dan melepaskan partikel yang boleh menyebabkan jerebu.
2 comments
cantik..jangan sampai dicemari sudah la kan..banyak fungsi untuk persekitaran kita
Tanah gambut...banyak diusahakan dengan tanaman nanas...di Johor... Kami di Perak ni...di Titi Gantong, juga tanah gambut...ditanam dengan tanaman jagung majoritinya...
Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog Cinta Kepada Alam - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”